EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (tengah) bergambar bersama Pegawai Daerah Gombak Norazlina Abdul Aziz dan Pengarah JKR Selangor Ir Lokman Mohd Nasir di ibu pejabat JKR Daerah Gombak pada 6 April 2023. Foto Facebook Izham Hashim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10 kontraktor terlibat projek selenggara jalan sekitar Gombak bernilai RM500,000

SHAH ALAM, 6 APRIL: Sebanyak 10 syarikat kontraktor kelas G1 menerima tender selenggara jalan Jabatan Kerja Raya sekitar Gombak melibatkan projek bernilai RM500,000.

EXCO infrastruktur berkata syarikat bertanggungjawab melaksanakan kerja tampalan, membaiki, membuat garisan, membersihkan laluan serta memangkas pokok di bahu jalan terbabit.

“Projek ini mendapat perhatian 144 kontraktor namun kita hanya pilih 10 syarikat secara undian. Mereka yang terpilih perlu mengendalikan projek yang setiap satu bernilai RM50,000.

“Kerja selengara ini perlu disiapkan dalam tempoh tiga bulan. Kita harap kontraktor terpilih dapat melaksanakan tugas sebaiknya,” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi hari ini.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim menjalankan proses undian dan dipantau wakil pusat perkhidmatan kontraktor dan persatuan kontraktor bumiputera bagi mencari 10 kontraktor selenggara jalan Jabatan Kerja Raya sekitar Gombak di ibu pejabat JKR Daerah Gombak pada 6 April 2023. Foto Facebook Izham Hashim

Beliau berkata proses undian dipantau wakil pusat perkhidmatan kontraktor dan persatuan kontraktor bumiputera bagi memastikan proses undian lancar.

Sebelum ini, Izham memaklumkan kerja penurapan jalan besar-besaran di seluruh negeri akan dilaksanakan penghujung bulan ini demi keselesaan pengguna.

Menurutnya projek dengan kos RM50 juta menerusi Belanjawan Selangor 2023 membabitkan semua jalan bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menggalakkan orang ramai melaporkan kejadian jalan rosak di komuniti mereka menerusi aplikasi Twitter dengan menghantar gambar, menulis aduan dan disertakan tanda pagar #infrasel #daerah #namajalan.

Syarikat penyelenggara jalan negeri Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) giat menjalankan kerja baik pulih jalan dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan orang awam menerusi Twitter.


Pengarang :