EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (tengah) dan Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halim (dua, kiri) menunjukkan replika kupon Platform Selangor (PLATS) RAHMAH selepas meninjau operasi Bazar Ramadan Seksyen 7, Shah Alam pada 5 April 2023. Foto PLATS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

10,000 kupon PLATS RM5 diagih beli juadah berbuka di bazar terpilih

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk sejumlah RM50,000 untuk agihan 10,000 kupon Platform Selangor (PLATS) RAHMAH kepada orang ramai.

EXCO pembangunan usahawan berkata kupon bernilai RM5 tersebut diedar secara berperingkat bermula semalam hingga 18 April ini untuk membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan terpilih.

“Pelanggan boleh menunjukkan kupon ini kepada peniaga yang telah berdaftar dengan PLATS di bazar Ramadan berkaitan untuk ditukar kepada barangan.

“Sekiranya harga barangan itu RM6, maka pelanggan perlu menambah wang sendiri,” kata Rodziah Ismail kepada Selangorkini.

Semalam, sebanyak 600 kupon PLATS RAHMAH diagih kepada komuniti sekitar daerah ini meliputi sekolah, masjid, pelajar berpendapatan rendah (B40) dan guru.

Sebanyak 400 kupon turut diserah kepada pengunjung Bazar Ramadan Seksyen 7 di sini bagi menyokong peniaga baharu seliaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah).

Sementara itu, Rodziah yang juga wakil rakyat Batu Tiga turut meminta rakyat Selangor supaya memanfaatkan platform dalam talian bagi memudahkan urusan harian.

“Sebab itu peniaga di Bazar Ramadan Seksyen 7 ini kita daftarkan mereka dengan PLATS. Jadi, ia akan memudahkan pelanggan buat pratempahan makanan secara dalam talian.

“Mereka juga tidak perlu bersesak dan bersusah payah cari parkir kenderaan. Hanya perlu tempah dan datang ambil,” katanya.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang https://platselangor.com bagi mengetahui senarai lokasi edaran kupon PLATS RAHMAH.


Pengarang :