Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharipah Marhani Syed Ali (tengah) bergambar bersama penerima sumbangan Program Jalinan Kasih 3R PJKita sempena Aidilfitri 2023 di PJ Eco Recycling Plaza, Petaling Jaya pada 14 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

11 keluarga terima sumbangan perabot, pakaian terpakai

PETALING JAYA, 14 APRIL: Sebanyak 11 keluarga menerima sumbangan barangan terpakai pada program Jalinan Kasih 3R PJKita Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2023 sempena Aidilfitri.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ berkata antara barangan terpakai yang diterima adalah pakaian dan perabot.

Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ TPr. Zain Azly Abdul Rahman. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Sejak 2019 sebanyak 20 keluarga daripada golongan miskin dan B40 menerima sumbangan barangan terpakai hasil daripada kutipan program Spring Cleaning pada setiap perayaan utama di Malaysia.

“Kebanyakan barangan terpakai bersaiz besar seperti perabot yang diterima daripada program ini masih dalam keadaan baik dan boleh digunakan,” kata TPr. Zain Azly Abdul Rahman ketika ditemui selepas

majlis perasmian program Jalinan Kasih 3R PJKita sempena Aidilfitri di PJ Eco Recycling Plaza di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Sharipah Marhaini Syed Ali.

Zain Azly berkata MBPJ akan melaksanakan program jalinan kasih 3R pada hari perayaan lain seperti Deepavali serta sambutan ulang tahun MBPJ.

“Selain itu, kita mungkin akan perluaskan juga program ini kepada mereka yang memerlukan tidak tertakluk hanya kepada musim perayaan atau sambutan hari istimewa lain,” katanya.

Penerima sumbangan Halimah Abdullah. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Penerima, Halimah Abdullah, 38, berkata sumbangan itu membawa sinar Aidilfitri buatnya sekeluarga memandangkan dia tidak mampu membeli sofa untuk rumahnya.

“Saya menanggung tiga ahli keluarga yang juga Orang Kurang Upaya (OKU). Dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan memang tidak terfikir pun mahu beli sofa.

“Jadi bila saya dapat peluang ini, sangat gembira sekurang-kurangnya ada hiasan sempena Aidilfitri ini,” katanya.


Pengarang :