Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Shatiri Mansor (tiga, kiri) dan Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei (tiga, kanan) menyampaikan baucar Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) pada majlis khas serahan baucar tersebut di Pasaraya Giant Kota Damansara, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

150 insan istimewa DUN Kota Damansara terima baucar RM150

Oleh Alang Bendahara

DAMANSARA, 1 APRIL: Seramai 150 orang kurang upaya (OKU) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara yang mendaftar dengan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) menerima baucar beli-belah RM150 hari ini.

Wakil rakyatnya Shatiri Mansor berkata serahan dibuat dalam majlis di Pasaraya Giant Kota Damansara yang turut dihadiri Pengurus Besar Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) Gan Pei Nei.

“Kota Damansara menjadi DUN pertama yang menganjurkan majlis khas serahan baucar beli-belah SMIS. Seramai 150 ahli menerima baucar mereka.

“Setakat ini, seramai 601 penduduk DUN Kota Damansara telah mendaftar dibawah program SMIS,” katanya dalam ucapan majlis penyerahan baucar berkenaan.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor memperkemaskan kebajikan OKU dengan mendaftarkan golongan tersebut di bawah SMIS.

Penstrukturan semula Skim Mesra Usia Emas (SMUE) itu meningkatkan nilai baucar beli-belah daripada RM100 kepada RM150 dan melibatkan penambahan peruntukan RM10 juta menjadikan peruntukan bagi SMUE dan SMIS berjumlah RM30.5 juta pada 2023.


Pengarang :