Penduduk tidak melepaskan peluang membeli barangan asas dan tambahan lain pada harga murah dalam Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di pekarangan Surau Darul Amin, Meru, Klang pada 29 April 2023. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat N42 Meru Klang – YB Fakhrulrazi Mokhtar
ADNBERITA UTAMASELANGOR

350 penduduk serbu JER DUN Meru, 900 ayam terjual tidak sampai tiga jam

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kurang dari tiga jam, sebanyak 900 ekor ayam habis terjual dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di pekarangan Surau Darul Amin, Meru hari ini.

Jualan bermula 10 pagi dikunjungi kira-kira 350 penduduk sekitar yang tidak melepaskan peluang membeli enam barangan asas dan tambahan lain pada harga murah.

Selain ayam, barangan asas lain seperti telur terjual 250 papan, beras (200 kampit), daging beku (100 pek), ikan (100 pek) dan minyak masak (30 botol).

Selain barangan asas, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut menawarkan daging segar pada harga RM25 sekilogram, tulang campur isi (RM25 sekilogram), isi kerang (RM10 per pek) ayam pencen (RM10 per pek) dan pelbagai barangan kering jenama Ehsan.

Penduduk menunggu giliran untuk membeli barangan murah yang ditawarkan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di Surau Darul Amin, Meru, Klang pada 29 April 2023. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat N42 Meru Klang – YB Fakhrulrazi Mokhtar

Ahli Dewan Negeri Meru Mohd Fakhrulrazi Mokhtar mengucapkan terima kasih kepada PKPS yang menawarkan barangan tambahan untuk memberi pilihan kepada penduduk di sini.

“Semoga jualan ini bukan sahaja dapat meringankan bebanan rakyat termasuk di musim perayaan ini tetapi juga mendekatkan hubungan sesama warga tempatan dan pimpinan setempat.

“Ini kerana ukhuwah, persaudaraan dan saling memahami itu penting,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Fakhrulrazi pihaknya turut menaja 20 penduduk kurang berkemampuan dengan setiap seorang menerima RM75 sebagai tambahan untuk mereka berbelanja dalam program hari ini.

“Kita akan teruskan tajaan sebegini di setiap program JER di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru selagi mampu,” katanya sambil memberitahu jualan murah hari ini berakhir kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga menjelang Mei.

 


Pengarang :