Oleh Shamz Johan
KAJANG, 9 MAC: Lebih 371 kakitangan KDEB Waste Management (KDEBWM) mencarum Skim Infaq Yatim Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).
Pengarah Urusannya Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata potongan gaji secara bulanan itu diharap membantu Yide menguruskan anak yatim di bawah seliaan pertubuhan tersebut.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/mug-shot-1-500x343.jpg)
“Semua kakitangan dan pegawai terlibat tidak mengira jawatan menyatakan persetujuan untuk sama-sama menyumbang pada setiap bulan kepada anak-anak yatim seliaan Yide.
“Potongan gaji tersebut tidak tetap bermula dari RM100, RM50, RM10 dan minimum RM2 melalui skim yang telah bermula sejak tahun lepas. KDEBWM turut menyumbang melalui infak tanggungjawab sosial korporatnya,” katanya kepada Selangorkini semalam.
Sementara itu Pengerusi Yide Tan Sri Mazlan Mansor berkata KDEBWM banyak memberi sumbangan menerusi infak tanggungjawab sosial korporat sejak 2017 lagi.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/mug-shot-2-500x332.jpg)
“Ia diperkukuhkan dengan komitmen kakitangan KDEBWM turut membuat caruman potongan gaji bulanan Skim Infaq Yatim Yide.
“Usaha KDEBWM ini amat baik. Kita berharap inisiatif ini dicontohi oleh agensi lain di Selangor dengan berinfak menggunakan kaedah potongan gaji secara bulanan minimum RM2 sahaja,” katanya.
Terdahulu, KDEBWM memeterai perjanjian kerjasama bersama Yide yang disaksikan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di Masjid Jamek Pekan Kajang di sini, semalam.
Pada majlis tersebut baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri Yide kepada 1,530 anak yatim sekitar daerah Hulu Langat.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/04/yide-new-500x323.jpg)