Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze pada sidang media selepas berjaya mengumpul lebihan makanan di Bazar Ramadan USJ 4 Subang Jaya berjumlah 426.12 kilogram (kg) pada 5 April 2023. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADNBERITA UTAMASELANGOR

426kg lebihan makanan bazar dikumpul, agih kepada golongan perlu

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 6 APRIL: Kempen menjaga alam sekitar dengan mengumpul lebihan makanan di Bazar Ramadan USJ 4 Subang Jaya yang digerakkan wakil rakyatnya mengumpul 426.12 kilogram (kg) setakat ini.

Michelle Ng Mei Sze berkata kempen dengan kerjasama Syarikat What A Waste itu dilancarkan 29 Mac lalu bagi mengelakkan pembaziran makanan dengan memberikannya kepada golongan memerlukan.

“Setakat ini sebanyak 426.12kg makanan dikumpulkan di mana pelepasan 1,065.30 kg gas rumah hijau dapat dielakkan.

“Ia petanda baik pembaziran makanan semakin berkurangan setiap hari, dalam sibuk membeli juadah di bazar jadikan kempen ini sebagai peringatan untuk kita memainkan peranan menyelamatkan alam sekitar,” katanya menerusi Facebook.

Pada 29 Mac lalu Michelle mengumpul 300 kg makanan yang menghasilkan 702 kg karbon menerusi kempen terbabit.

Malah pada 17 Mac lepas, beliau mengumpul 177 kg lebihan makanan sepanjang tiga hari sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) berlangsung dengan kerjasama syarikat sama.


Pengarang :