Ahli Dewan Negeri Permatang Rozana Zainal Abidin bersama peserta program gubahan orkid di Perpustakaan Desa Taman Manickavasagam, Kuala Selangor pada 5 April 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin
ADNSELANGOR

45 suri rumah, ibu tunggal DUN Permatang sertai program gubah orkid

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 45 suri rumah, ibu tunggal dan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia mengikuti program gubahan orkid anjuran Pusat Wanita Berdaya (PWB) Permatang, semalam.

Ahli Dewan Negeri Permatang berkata program yang ditawarkan secara percuma bertujuan melatih peserta menggubah bunga sekali gus membuka peluang mereka menjana pendapatan.

“Kita harap peserta memanfaatkan ilmu yang diperoleh sebaik mungkin supaya dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga,” kata Rozana Zainal Abidin.

Terdahulu, beliau berkesempatan meninjau aktiviti yang diadadakan di Perpustakaan Desa Taman Manickavasagam, Kuala Selangor.

Sebahagian peserta mempamerkan hasil gubahan ketika program gubahan orkid di Perpustakaan Desa Taman Manickavasagam, Kuala Selangor pada 5 April 2023. Foto Facebook Rozana Zainal Abidin

Program dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari dikendali Penyelia PWB Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang R Kalaivany.

PWB diwujudkan di 56 DUN serata Selangor sejak 2015 bagi melaksana program pemerkasaan wanita.

Pusat berkenaan bertanggungjawab mengadakan pelbagai program berbentuk kemahiran untuk menambah ilmu dan pendapatan kaum wanita.

Selain gubahan bunga, kegiatan lain seperti bengkel kraftangan, jahitan, masakan, penghasilan produk dan kursus ilmiah turut dijalankan.


Pengarang :