Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi (kanan) berucap pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

5,000 ekor ayam, 900 papan telur terjual dalam tempoh tiga jam

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 16 APRIL: Empat barangan asas yang ditawarkan dalam Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Selayang Mutiara hari ini, habis dijual dalam tempoh tiga jam.

Ketua pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata empat barangan itu ialah 5,000 ekor ayam, 900 papan telur, 900 pek daging dan 900 kampit beras.

“Daging habis dahulu iaitu kira-kira pukul 12 tengah hari sementara ayam, telur dan beras selesai dijual sejam kemudian.

“Setakat pukul 2 petang ini juga, sebanyak 792 pek ikan atau 88 peratus daripada pek ikan yang kita bawa serta 322 botol minyak masak atau 71 peratus daripadanya telah terjual,’’ katanya kepada Selangorkini.

Orang ramai mendapatkan nombor giliran untuk membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, jualan murah yang dihadiri kira-kira 1,500 pengunjung bermula 10 pagi dan berakhir 3.30 petang.

Terdapat juga pengunjung yang datang ke tapak jualan untuk mengambil nombor giliran seawal  7 pagi. Malah, sebanyak 1,000 nombor giliran telah diberikan kepada pengunjung setakat 9.50 pagi.

Selain enam barangan asas, turut dijual ialah barangan kering jenama Ehsan antaranya gula, tepung, beras pulut, kicap, sos dan banyak lagi.

Terdapat empat gerai tambahan yang menjual kuih raya, baju raya, kosmetik dan air minuman.

Beberapa pengunjung turut mendapat hadiah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah duit raya daripada PKPS.

Antara barangan yang dijual pada program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI


Pengarang :