Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima baucar pada program Jom Shopping Deepavali DUN Sungai Tua di Sri Ternak, Gombak pada 16 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

600 penduduk raih manfaat, terima baucar beli-belah perayaan Sabtu ini

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 5 APRIL: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua akan mengagihkan baucar Jom Shopping Perayaan Aidilfitri kepada 600 penerima yang layak Sabtu ini.

Pengurus pusat khidmat itu Maimon Misman berkata penyerahan baucar RM200 bagi setiap penerima atau nilai keseluruhannya RM120,000 akan dibuat di Pasar Raya Besar Giant Batu Caves.

“Semua nama penerima telah dihantar kepada pejabat DUN oleh ketua kampung atau Pengerusi Jawankuasa Penduduk sebelum 31 Mac lalu.

“Semoga pemberian baucar ini nanti dapat membantu meringankan beban perbelanjaan mereka sempena Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jom Shopping Perayaan merupakan bantuan sempena tiga perayaan utama bagi meringankan beban keluarga kurang berkemampuan untuk menyediakan persiapan perayaan.

Tahun ini, kadar inisiatif dinaikkan kepada RM200 setiap keluarga selain had pendapatan bulanan isi rumah ditingkatkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 sebulan.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi pemberian baucar tersebut, yang akan memanfaatkan 82,400 penerima di seluruh negeri.


Pengarang :