Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim ketika Majlis Rumah terbuka Aidilfitri Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) 2023 di MBSA Convention centre pada 27 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

6,000 unit Rumah Selangorku Idaman dijangka siap menjelang 2024, 2025

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kira-kira 6,000 unit Rumah Selangorku Idaman yang giat dibangunkan di beberapa lokasi strategik negeri ini dijangka siap menjelang 2024 dan 2025.

Ketua pegawai eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berkata pembinaan kediaman mampu milik membabitkan Bukit Jelutong, Shah Alam; Bandar Saujana Putra, Kuala Langat; Cybersouth, Dengkil; Puncak Alam, Kuala Selangor dan Taman Air Manis, Sabak Bernam.

“PNSB merupakan salah satu tonggak dalam pembinaan rumah mampu milik di Selangor sejak 2019. Kita telah siapkan satu projek di Tropicana Heights, Semenyih membabitkan 2,500 unit.

“Insya-Allah dalam masa terdekat ada lagi projek yang akan siap dengan anggaran 6,000 unit,” kata Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada majlis rumah terbuka Aidilfitri PNSB di sini semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman bersama tetamu pada Majlis Rumah terbuka Aidilfitri Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) 2023 di MBSA Convention centre pada 27 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Beliau memaklumkan permintaan terhadap rumah terbabit sangat memberangsangkan terutama dalam kalangan pemohon rumah pertama dan individu yang baharu berkeluarga.

“Jadi kita perlu tapis dan lihat kelayakan pemohon. Syarat ditetapkan mesti rumah pertama selain pendapatan isi rumah pemohon kurang RM10,000.

“Rumah ini berharga RM250,000 dengan dilengkapi tiga bilik tidur selain beberapa kelengkapan seperti penghawa dingin, televisyen dan perabot,” katanya.

Pada Februari, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan 65,000 unit Rumah SelangorKu kategori Idaman dan Harapan diluluskan sejak 2018.

Daripada jumlah itu 24,000 unit dalam proses kebenaran merancang, 6,500 masih dibina manakala 2,400 siap dibina di Kajang dan Bangi.

Terdahulu, seramai 700 tetamu jemputan terdiri daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), rakan strategik, pihak berkuasa tempatan serta pejabat daerah dan tanah memeriahkan majlis tersebut.

Majlis turut meraikan 50 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Ehsan Malaysia dan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.


Pengarang :