Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah bercakap kepada media ketika pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Ops Bersepadu Hari Raya Aidilfitri di Taman Prima Saujana, Kajang pada 18 April 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aidilfitri: JPJ kesan 76 lokasi utama kemalangan, beku cuti 2,000 anggota

HULU LANGAT, 18 APRIL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenal pasti 76 lokasi utama kemalangan atau ‘blackspot’ yang menjadi tumpuan Ops Bersepadu Aidilfitri mulai hari ini hingga 27 April.

Timbalan Menteri Pengangkutan berkata kesemua lokasi itu membabitkan Jalan Persekutuan yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan.

“Kita menempatkan anggota di setiap kawasan dengan kira-kira 2,000 anggota penguatkuasa JPJ digerakkan secara langsung dalam Ops Aidilfitri tahun ini di seluruh negara.

“Cuti mereka ini dibekukan. Kita akan mengerahkan dari semasa ke semasa 2,300 hingga 2,500 anggota jika keadaan memerlukan,” kata Datuk Hasbi Habibollah.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Ops bersepadu Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan 2023 di tapak Pasar Ramadan Taman Prima Saujana Kajang di sini, hari ini.

Hasbi juga meminta pengguna jalan raya memastikan kenderaan masing-masing diselenggara dengan baik dan selamat dinaiki sebelum memulakan perjalanan.

“Penting untuk merancang perjalanan supaya perjalanan ke destinasi lebih lancar, mematuhi peraturan dan berhemah ketika menggunakan jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga dinasihati agar mendapatkan rehat yang cukup dan berhenti di tempat yang selamat atau kawasan rehat dan rawat jika keletihan selain sentiasa bertoleransi dan bersabar ketika mengalami kesesakan jalan raya,” katanya.

Beliau turut menggesa pengguna jalan raya dapat menjadi sebahagian daripada anggota penguat kuasa dengan melaporkan kesalahan lalu lintas secara pelaporan terus sepanjang tempoh Ops Bersepadu.

Aduan boleh disalurkan menerusi Aplikasi MyJPJ melalui http://e-Aduan@jpj atau melalui aduan e-mel [email protected]


Pengarang :