Gambar hiasan. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amaran ribut petir, hujan empat daerah di Selangor hingga 1 pagi esok

SHAH ALAM, 24 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di Selangor melibatkan empat daerah sehingga 1 pagi esok.

Agensi tersebut menerusi Twitter memaklumkan daerah tersebut ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat serta seluruh Pulau Pinang.

Situasi sama juga dijangka di Kedah melibatkan Yan, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak dan Batang Padang) serta Kelantan (Gua Musang).

Manakala Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Temerloh selain Sarawak di Kapit (Song, Bukit Mabong dan Belaga) dan Miri.

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :