Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan semasa sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Perayaan Aidilfitri Peringkat Kontinjen Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Shah Alam pada 20 April 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONALSELANGOR

Bakar mercun selepas 12 malam, ganggu awam boleh kena tindakan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Individu membakar mercun dan bermain bunga api melebihi jam 12 tengah malam di kawasan umum hingga mendatangkan bahaya dan menggangu ketenteraman boleh dikenakan tindakan tegas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata ketegasan itu susulan laporan kejadian kecederaan yang berlaku di Gombak selain ia turut menyalahi Akta Kesalahan Kecil 1955, lapor Utusan Malaysia.

“Pembakaran hanya dibenarkan di kawasan lapang, bukannya di depan rumah dan tengah malam atau membahayakan orang lain.

“Polis akan bertindak tegas jika mengesan dan menerima laporan perbuatan itu terutama selepas 12 tengah malam,” katanya baru-baru ini.

Sebelum ini, Setiausaha Polis Diraja Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin menegaskan bunga api merupakan bahan letupan kategori Dangerous Good Cargo (DGC) dan Hazard Class Division (HCD).

Bermain bunga api melebihi pukul 12 tengah malam boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 [Akta 336].

Tindakan sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.


Pengarang :