Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor menyantuni balu dan anak perempuannya yang kehilangan punca pendapatan selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 30 Mac 2023. Foto Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Balu, anak terima bantuan sewa, kewangan bulanan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 5 APRIL: Seorang balu dan anak perempuannya yang kehilangan punca pendapatan selepas ketua keluarga meninggal dunia akibat kanser paru-paru mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Agensi itu memaklumkan pihaknya menyantuni dua beranak berkenaan dengan bantuan sewa rumah dan kewangan bulanan memandangkan keluarga itu tiada sumber pendapatan.

“Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor turun padang dan turut menyantuni mereka dengan bantuan tunai kecemasan untuk kegunaan sementara waktu.

“LZS mengesahkan keperluan makan minum keluarga ini tidak terputus dan mencukupi ketika ini,” katanya di Facebook.

Menurut LZS suami wanita berkenaan sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan lebih 20 tahun dan disahkan menghidap kanser paru-paru bulan lalu.

“Sel kanser merebak dengan merosakkan fungsi kedua-dua buah pinggang serta saraf otak sehingga menyebabkan lumpuh pada bahagian kaki dan meninggal dunia 30 Mac lalu,” katanya.

Agensi itu turut menggalakkan orang ramai untuk terus berzakat di LZS kerana walaupun sedikit bagi mereka yang mengeluarkan zakat tetapi besar manfaatnya buat insan memerlukan.


Pengarang :