AGENDAJENAYAH

Bayi baru lahir ditemukan tepi pagar kilang, ada kesan gigitan serangga

KUANTAN, 29 APRIL: Seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas kayu berhampiran tepi pagar sebuah kilang di Kampung Peramu, di sini hari ini dengan kesan gigitan serangga.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi itu oleh orang awam pada 12.10 tengah hari tadi.

Beliau berkata bayi berkenaan dijumpai oleh seorang wanita berusia 51 tahun yang memaklumkan terdengar tangisan kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum bertindak mencari suara berkenaan.

“Wanita itu kemudiannya telah menjumpai bayi lelaki yang ditinggalkan lebih kurang 10 meter dari jarak rumah iaitu berhampiran tepi pagar kilang tersebut dan bayi itu diletakkan di atas kayu selain menyatakan bayi tersebut masih mempunyai tali pusat dan badannya dihinggap kerengga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata wanita itu telah meminta bantuan kenalannya untuk menghubungi polis bagi tindakan lanjut sebelum bayi itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk mendapatkan rawatan.

“Doktor menganggarkan bayi itu dilahirkan kurang tiga jam sebelum ditemukan dan keadaannya kini stabil serta masih menerima rawatan di wad kanak-kanak HTAA,” katanya dan menambah pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuantan sudah dimaklumkan berhubung penemuan bayi itu.

Sementara itu, beliau berkata siasatan mendapati suspek berkemungkinan telah melahirkan anaknya di lokasi lain dan bertindak menyembunyikan kelahiran dengan membuang bayi itu di tempat kejadian pada awal pagi tadi.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – BERNAMA


Pengarang :