Anggota Skuad Pasukan Tindak Segera (Pantas) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menguji tahap kualiti air sungai di tapak lapangan berdasarkan kiriman Facebook LUAS pada 22 April 2023
AGENDANASIONAL

Bekalan air tidak terjejas susulan henti tugas sementara loji rawatan air

SHAH ALAM, 23 APRIL: Tiada gangguan bekalan air di Selangor dilaporkan susulan henti tugas sementara Loji Rawatan Air (LRA) Batang Kali pada Jumaat lalu.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata operasi LRA Batang Kali terpaksa dihentikan sebentar Jumaat lalu susulan kekeruhan air sungai melebihi piawaian ditetapkan, lapor Berita Harian.

“Kejadian berlaku pada 8.30 malam Jumaat lalu, tetapi hanya sekejap sahaja dan tidak menjejaskan bekalan air ke rumah penduduk.

“LRA itu beroperasi semula pada 9.45 malam hari sama dan tiada isu gangguan bekalan air di Selangor setakat ini,” katanya.

Sebelum ini, Loy Sian berkata Ops Sumber Air 24 jam terus dilaksana dan dipertingkat supaya sebarang permasalahan kualiti sumber air dicegah dan diambil tindakan segera.

Menurutnya operasi tanpa henti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dijalankan di lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat meliputi rondaan serta pemantauan statik.

Agensi itu tetap berdedikasi melaksanakan rondaan dan kerja pemantauan keadaan sungai utama Selangor termasuk pada hari pertama Aidilfitri.

LUAS turut mengeluarkan panduan urus sisa rumah terbuka sebagai rujukan kepada warga Selangor bagi mengelak gangguan bekalan air ketika musim perayaan.


Pengarang :