Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Sze Mei meninjau keadaan taman permainan SS 19 pada 14 April 2023. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Belanja hampir RM100,000 bina laluan konkrit, ratakan padang taman SS 19

SUBANG JAYA, 14 APRIL: Hampir RM100,000 dibelanjakan untuk membina laluan konkrit di taman permainan SS 19 di sini, bagi memudahkan orang awam melakukan aktiviti riadah.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Sze Mei berkata kos itu merupakan sebahagian daripada peruntukan khas Projek Selangor Penyayang tahun lalu berjumlah RM400,000.

“Penduduk mengadu masalah laluan di taman ini terutama ketika hujan. Padang jadi lecak menyebabkan mereka terpaksa beriadah di jalan raya.

“Keadaan ini merbahaya dan memberi risiko  keselamatan tambahan pula kebanyakan mereka adalah warga emas. Jadi kita bina laluan ini untuk memudahkan penduduk beriadah,” katanya selepas meninjau laluan terbabit hari ini.

Michelle berkata laluan dibina sepanjang 280 meter itu siap sepenuhnya pada Disember dan kini memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

“Selain pembinaan laluan ini, kita juga menaik taraf taman dengan meratakan sebahagian kawasan tanah tinggi. Kita tarah untuk jadikan padang rata,” katanya.


Pengarang :