Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Tani Kekal Puchong pada 19 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Beli barangan asas lebih awal pada harga murah di jualan mega raya

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual pada harga murah sempena Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Pasar Tani Kekal Puchong hari ini.

Tinjauan Selangorkini mendapati pengunjung membuat persiapan termasuk membeli bahan mentah lebih awal berbanding kebiasaan sebagai persediaan jika berlaku raya ‘mengejut’ seperti tahun lalu.

Peniaga Nur Amira Atikah Roslan, 26, berkata dia dan ibunya membuat persiapan awal kerana tidak mahu situasi panik seperti tahun lalu berulang.

Nor Amira Atikah, 26. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bimbang kalau raya Jumaat, sebab itu kami datang beli barang hari ini dan kebetulan pula ada jualan mega anjuran Kerajaan Selangor.

“Memandangkan banyak juadah akan dibuat, pelbagai barang kami beli antaranya ayam, santan, daun ketupat selain perkakas masak lodeh, rendang dan kuah kacang,” katanya.

Sementara itu, suri rumah Zaima Mokhtar, 54, berkata dia datang ke jualan mega bagi menambah bekalan telur dan minyak masak yang dijual dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

“Barangan asas lain untuk kegunaan raya makcik beli awal…minggu lepas lagi sebab takut jadi macam tahun lepas (raya mengejut), tidak sempat buat persiapan.

Zaima Mokhtar, 54. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Cuma hari ini datang sebab Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) jual barangan keperluan asas murah. Alhamdulillah, sangat jimat telur boleh dapat RM10 sepapan, minyak masak RM25 sebotol,” katanya.

Kerajaan Selangor menganjurkan jualan mega sempena Aidilfitri bermula 15 April hingga esok membabitkan lebih 23 lokasi hingga esok.

Inisiatif tersebut menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Tani Kekal Puchong pada 19 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.


Pengarang :