Tiga beradik Norfaradina Khalid, 40, Siti Khadijah Khalid, 30, Siti Mujahidah Khalid, 28, membeli barangan keperluan murah sempena Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Dataran Niaga Siantan, Batu Caves pada 16 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Berbaloi beratur panjang, jualan barangan dapur memang murah

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 16 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri beri peluang keluarga yang kesempitan wang beli lauk raya secukupnya dengan harga murah.

Menurut Norfaradina Khalid, 40, yang menetap di Greenwood, beliau dan dua adik iaitu Siti Khadijah Khalid, 30, dan Siti Mujahidah Khalid, 28, memang menunggu jualan hari ini untuk membeli lauk raya bagi keluarga masing-masing.

Mohd Shahril Baharom. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Bulan lepas dan bulan ini memang guna banyak duit kerana anak-anak dah mula sekolah dan tidak berapa hari lagi dah raya.

“Syukur ada jualan murah ini kerana beri kami kemampuan untuk beli lauk raya yang lengkap walau dalam kesempitan,” katanya ketika ditemui dalam program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Dataran Niaga Siantan, Selayang Mutiara hari ini.

Mohd Shahril Baharom, 36, dari Wira Damai pula berharap jualan seperti ini dapat diteruskan selepas Aidilfitri bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Lepas raya duit dah banyak belanja kalau dapat beli barang murah pasti akan lega sedikit kerana barangan di luar mahal. Harap jualan ini diteruskan sehinggalah harga barang stabil,” katanya.

Rozita Hamzah, 35, dari Selayang Mutiara pula memberitahu jualan ini memang membantu meringankan perbelanjaan keluarganya pada waktu perayaan.

Rozita Hamzah. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Memang berbaloi beratur, menunggu giliran untuk beli barangan dapur. Barangan dijual memang murah. Kebetulan bulan ini memang banyak guna duit, sekurang-kurangnya dapat bantu jimat belanja kami,” katanya.

Program jualan murah di 23 lokasi ini menyediakan bekalan ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :