Keadaan kenderaan yang dilanggar lori pasir yang mengundur berikutan kegagalan brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Rawang Mutiara, Rawang pada 17 April 2023. Foto ihsan Jabatan Bomba Selangor
AGENDANASIONAL

Brek rosak punca lori mengundur rempuh lapan kenderaan di Rawang

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kegagalan brek punca sebuah lori pasir mengundur dan merempuh lapan kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Jalan Rawang Mutiara di sini, semalam.

Ketua polis Daerah Gombak berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lampu isyarat merah dan semua kenderaan berhenti di lorong kanan, lapor Berita Harian.

Menurut Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 3.40 petang dan tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pengguna lain.

“Lori terbabit yang berada paling hadapan tiba-tiba mengundur secara tiba-tiba menyebabkannya melanggar beberapa kenderaan yang berada di belakang,” katanya seperti dilaporkan.

Beliau berkata usaha mengesan kenderaan terlibat dalam kejadian itu masih dijalankan untuk siasatan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohamad Suhaimi Tukiman di talian 013-7557556 atau ibu pejabat polis Gombak di talian 03-61262222.

 


Pengarang :