Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada Program ‘Walkabout’ Jualan Rahmah Courts, di Pasaraya Courts Setapak, Kuala Lumpur pada 14 April 2023. Foto Facebook KPDN Laman Rasmi
AGENDANASIONAL

Courts Malaysia gedung perabot pertama tawar harga Rahmah

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Pasaraya Perabot Courts Malaysia menjadi gedung perabot pertama menyambut inisiatif Payung Rahmah dengan menawarkan barangan elektronik dan perabot pada harga Rahmah bermula Sabtu lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata menerusi inisiatif itu, pelanggan yang membuat pembelian melebihi RM2,000 dapat membeli barangan kedua seperti mesin pengisar pada harga RM5 sahaja.

“Selain itu, terdapat sesetengah barangan perabot dan elektrik menawarkan potongan harga mencecah 50 peratus.

“Ini sangat menarik dan dapat membantu suri rumah mendapatkan barangan elektronik pada harga berpatutan dengan harga Rahmah,” katanya pada sidang media pada Program ‘Walkabout’ Jualan Rahmah Courts, di Pasaraya Courts, di sini hari ini.

Menurut Salahuddin tempoh promosi sepatutnya berakhir 21 April ini, bagaimanapun pihak Courts melanjutkannya hingga 30 April bagi meraikan pelanggan terutama menjelang Aidilfitri.

Salahuddin berharap banyak lagi syarikat elektrik dan perabot yang akan bersama-sama kementerian itu dengan menawarkan Jualan Rahmah bagi meringankan beban rakyat.

Terdahulu, beliau meninjau beberapa gerai di sekitar ibu kota awal pagi tadi bagi melihat jualan barangan basah terutama ikan, daging dan sahur-sayuran menjelang Aidilfitri.

“Saya melihat semua peniaga mematuhi harga yang ditetapkan dan tiada harga yang naik secara melampau.

“Ada laporan yang mengatakan harga dinaikkan dengan melampau, jadi saya memerhatikan dari satu gerai ke kedai lain serta mengambil masa satu jam, dan mendapati keseluruhan harga barangan masih terkawal,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :