Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penduduk sempena majlis pelancaran program Kita-Untuk-Kita (K2K) di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 8 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Dana tambahan RM35 juta perkasa komuniti PPR termasuk di Selangor

SHAH ALAM, 8 APRIL: Perdana Menteri mengumum peruntukan tambahan RM35 juta bagi memperkasa komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor dan Kuala Lumpur.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dana program Komuniti Kita Untuk Kita (K2K) itu akan diagih kepada 12 perumahan yang mengalami masalah serius dan tenat.

“Untuk ini, kita telah pun bincang dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk percepat proses dan tidak ikut tender biasa yang panjang, sebaliknya tender terhad dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) melakukan gimik pelancaran program Kita-Untuk-Kita (K2K) disaksikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) di Pangsapuri PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 8 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Peruntukan tambahan ini akan memanfaat kira-kira 10 ke 12 PPR kategori bermasalah di Kuala Lumpur dan Selangor. Ia sudah diluluskan dan boleh digunakan dalam kadar segera mengikut keadaan rumah,” katanya.

Beliau berkata selepas majlis pelancaran K2K yang digerakkan Think City Sdn Bhd (Think City) di PPR Kampung Baru Hicom. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Program K2K merupakan inisiatif di bawah Belanjawan 2023 yang bertujuan untuk meningkatkan daya huni perumahan awam.

Ia bertujuan memangkin sokongan terhadap komuniti perumahan awam dan pengurusan bangunan bagi menangani cabaran sosial, ekonomi dan fizikal melalui empat cabang kritikal seperti pemerkasaan komuniti.


Pengarang :