Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berucap pada majlis perasmian Kempen Anti-Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Johor Bahru pada 25 Jun 2022. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Dua warga Taiwan suspek kes tembak ditahan di KLIA

KUALA LUMPUR,  29 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan dua individu warga Taiwan yang juga suspek kes tembakan di negara berkenaan pada 20 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman ketika memasuki negara ini melalui penerbangan dari Taiwan 20 April lalu.

“Kedua-dua suspek adalah orang dikehendaki oleh polis Taiwan kerana disyaki terbabit dengan kes tembakan di negara itu.

“Malah mereka juga disyaki ahli kongsi gelap serta anggota sindiket ‘scammer’ (penipuan) di Taiwan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Acryl Sani berkata, mereka ditahan susulan waran tangkap oleh pihak berkuasa Taiwan dan pembatalan pasport dua individu berkenaan oleh kerajaan negara itu.

“Tangkapan terhadap dua suspek berkenaan dilakukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 ketika mereka tiba di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kedua-dua suspek diserahkan kepada wakil polis Taiwan di KLIA untuk dibawa pulang ke negara asal mereka jam 2.45 petang semalam,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat PDRM dengan pihak berkuasa Taiwan dan kolaborasi berkenaan akan diteruskan untuk mengenal pasti rangkaian jenayah berkait kedua-dua suspek terbabit di Malaysia.

“PDRM komited dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Langkah-langkah keselamatan akan diambil bagi memastikan Malaysia tidak dijadikan negara transit atau destinasi untuk mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.


Pengarang :