ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada Media Selangor ketika program Jelajah Ehsan Rakyat DUN Bandar Utama di Kampung Cempaka, Petaling Jaya pada 1 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Bandar Utama edar 1,000 bekas kuih raya menjelang Aidilfitri

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM , 3 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama akan mengedarkan 1,000 bekas kuih raya secara percuma kepada orang ramai menjelang Aidilfitri ini.

Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya menyediakan peruntukan hampir RM10,000 bagi menjayakan program tersebut.

“Kita rancang untuk edarkan kuih raya kepada orang ramai di kawasan awam seperti di stesen transit aliran ringan (LRT).

“Selain diedarkan kepada orang ramai kuih raya juga akan diedarkan kepada ketua komuniti dan pihak yang pernah bekerjasama dengan kita di DUN Bandar Utama,” katanya kepada Selangorkini.

Terdahulu beliau meninjau operasi jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Cempaka Petaling Jaya, pada 1 April lalu.

Jamaliah berkata selain menggembirakan penduduk dengan pemberian kuih raya percuma inisiatif itu juga bertujuan membantu peniaga kecil meraih pendapatan khususnya menjelang Aidilfitri.

“Ini antara usaha kita bantu peniaga yang masih berusaha bangunkan semula perniagaan mereka terkesan ketika penularan Covid-19 sebelum ini,” katanya.


Pengarang :