Dzabedah Alisman, 60 (kanan) dan Jubaidah Tarmidi, 61, menggunakan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Utama laksana program bank makanan bantu B40, warga emas

Oleh Diana Abd Wahab

SHAH ALAM, 5 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama memperuntukkan RM1,000 setiap bulan bagi membantu 20 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi program bank makanan.

Wakil rakyat Jamaliah Jamaluddin berkata pihaknya terus memberi bantuan makanan percuma kepada golongan sasar menerusi program berkenaan meskipun selepas pandemik Covid-19.

“Kita wujudkan bank makanan kerana menyedari ada mereka yang hilang pekerjaan atau warga emas uzur tidak dapat bantuan Kerajaan Negeri. Kadang-kadang ada pemohon tidak layak kerana tidak memenuhi syarat ditetapkan.

“Disebabkan itu, kita wujudkan bank makanan untuk beri bantuan makanan bulanan dengan peruntukan RM50 bagi setiap keluarga,” katanya kepada Selangorkini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin bercakap kepada media selepas melancarkan mesin layan diri makanan khusus untuk B40 di Rumah Pangsa Kayu Ara, Petaling Jaya pada 27 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Jamaliah berkata program itu juga bertujuan memastikan golongan sasar mampu menyediakan makanan mencukupi untuk keluarga mereka.

“Inisiatif ini bagi mengelakkan masalah kekurangan zat makanan berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak. Pada saya ini keistimewaan DUN Bandar Utama yang tidak terdapat di DUN-DUN lain.

“Golongan sasar akan mendapat bantuan makanan asas di saat memerlukan tanpa perlu melalui proses sukar,” katanya yang turut mengalu-alukan kerjasama sektor korporat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Selain bank makanan, DUN Bandar Utama turut menggerakkan projek perintis mesin layan diri untuk 100 keluarga B40 di Pangsapuri Kayu Ara, Bandar Utama pada 27 Mac lalu.

Mereka menerima bantuan bulanan RM100 yang dikreditkan dalam akaun e-dompet. Penerima boleh mendapatkan 19 produk makanan antaranya minyak masak, sardin tin, serbuk kari, cili kering dan minuman dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh luput.

Selain produk makanan, sebuah lagi mesin layan diri menawarkan 45 produk penjagaan diri dan ubat-ubatan seperti ubat batuk, ubat gigi, sabun mandi dan tuala wanita.


Pengarang :