ADNSELANGOR

DUN Bukit Gasing sedia subsidi e-skuter, galak lebih ramai guna

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 17 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menawarkan subsidi RM20 bagi pengguna baharu skuter elektrik (e-skuter) di kawasan itu.

Wakil rakyatnya Rajiv Rishyakaran berkata menerusi subsidi itu pengguna hanya membayar RM69 pada bulan pertama berbanding harga sebenar RM89 sebulan.

“Kita menawarkan subsidi sehingga 31 Mei ini supaya pengguna baharu boleh mencuba perkhidmatan ini selama sebulan.

“Selain Kumpool (perkhidmatan e-panggilan van), kita harap inisiatif ini akan galakkan orang ramai yang datang ke Petaling Jaya dari Subang Jaya, Shah Alam dan kawasan dalam jajaran sistem aliran transit ringan (LRT) dan transit aliran deras (MRT) gunakan pengangkutan awam walaupun pejabat mereka lebih satu kilometer dari stesen LRT,” katanya menerusi Facebook.

Rajiv berkata orang ramai boleh memuat turun aplikasi Oogya untuk menggunakan pas bulanan perkhidmatan e-skuter itu di Petaling Jaya khususnya di stesen LRT Taman Jaya dan Asia Jaya.

Sebelum ini DUN Bukit Gasing, Subang Jaya dan Bukit Tunku menawarkan perkhidmatan e-panggilan van melalui aplikasi Kumpool Ride di kawasan masing-masing.

Kumpool Ride diperkenal bagi menyurai kesesakan trafik dan parkir dengan kadar RM1 untuk akses pengangkutan lebih mudah, selesa dan selamat setiap hari mulai jam 8 pagi hingga 8 malam.

Perkhidmatan itu meliputi lebih 200 hentian antaranya stesen bas, LRT selain kawasan perumahan yang padat.


Pengarang :