Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze bergambar bersama penduduk selepas melancarkan Pusat Latihan Kecemasan USJ 13 pada 27 April 2023. Foto Facebook Michelle Ng Mei Sze
ADNSELANGOR

DUN Subang Jaya belanja RM20,000 wujud pusat latihan kecemasan untuk penduduk

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 29 APRIL: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya membelanjakan RM20,000 untuk menggerakkan Pusat Latihan Kecemasan USJ 13.

Wakil rakyatnya Michelle Ng Mei Sze berkata pusat itu dibangunkan bagi memberi pengetahuan dan latihan bantuan kecemasan kepada penduduk ketika berdepan situasi tidak dijangka.

“Menerusi kelas dikendalikan pasukan paramedik SJ Beacon Subang Jaya Emergency Ambulance kita beri peserta latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan kecemasan (first aid).

“Jika seseorang itu tidak boleh bernafas atau tercekik dan mereka yang ada kemahiran boleh membantu mangsa sebelum bantuan perubatan tiba.

“Kita sasar beri latihan kepada ketua keluarga sama ada suami atau isteri kerana mereka ada anak atau ibu bapa yang kita kategorikan sebagai golongan mudah tercedera jadi pengetahuan bantuan kecemasan penting untuk mereka,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Michelle setakat ini enam kelas sudah diadakan untuk penduduk sejak tiga bulan lalu dan setiap kelas dikendalikan ketua paramedik bertauliah dan berpengalaman luas dengan empat pembantu.

“Berikutan sambutan diterima menggalakkan kita terpaksa hadkan satu kelas hanya disertai 10 hingga 20 peserta sahaja. Kita mahu peserta dapat belajar dalam keadaan selesa memandangkan bilik latihan tidak besar.

“Kelas dijalankan selama enam jam dari 9 pagi hingga 3 petang pada hujung minggu bagi memberi peluang lebih ramai penduduk yang bekerja dapat menyertainya. Kita mahu latih seramai mungkin penduduk agar mereka dapat kawal situasi kecemasan sebelum bantuan perubatan tiba,” katanya.


Pengarang :