Oleh Azian Aziz
SHAH ALAM, 1 APRIL: Program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang menjual enam barangan asas pada harga murah diteruskan ke sembilan lokasi esok, mulai 10 pagi.
Jualan murah tersebut bertempat di pekarangan Surau Kampung Sepakat (DUN Bukit Melawati), Kampung Bukit Cherakah (DUN Ijok), gelanggang bola keranjang Kampung Baru Kundang Cina (DUN Kuang) dan Flat Palma (DUN Rawang).
Lokasi lain ialah Medan Batu Caves (DUN Sungai Tua), Surau Darussalam Jalan Teratai 2/5 (DUN Teratai), Taman Saga Kapar (DUN Meru), Dewan Orang Ramai Jalan Palembang (DUN Sementa) dan Dewan Serbaguna Seksyen 7 (Kota Damansara).

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.
Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 15 Januari hingga Mei.