Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barang keperluan asas pada harga murah menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat di Dataran Batu Laut Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 31 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Tanjung Sepat agih baulu, sayur kepada 1,000 pengunjung awal jualan mega

SHAH ALAM, 10 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Sepat bakal mengagih 1,000 bungkus baulu sempena program mega Jelajah Ehsan Rakyat (JER) pada Sabtu ini.

Wakil rakyat Borhan Aman Shah berkata pihaknya turut menyediakan sayur kangkung atau bayam kepada pengunjung terawal program yang berlangsung di Pantai Batu Laut, Kuala Langat.

“Pemberian baulu sebagai langkah membantu penduduk menyediakan keperluan kuih raya manakala sayur untuk mereka berbuka puasa.

“Kita jangkakan program jualan mega ini mendapat sambutan menggalakkan kerana harga ditawar lebih murah dari pasaran selain produknya segar,” katanya kepada SelangorKini.

Julai tahun lalu, Borhan mengagihkan 1,000 kupon bernilai RM2 pada program Juala Prihatin Rakyat bagi membantu penduduk mengurangkan kos belanja Hari Raya Aidiladha.

Pada Sabtu dan Ahad ini, program jualan murah barangan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berlangsung di enam lokasi dari 9 pagi hingga 2 petang.

Selain Pantai Batu Laut, program turut berjalan di pekarangan Stadium Sungai Besar dan tapak bazar Ramadan Batang Kali pada Sabtu.

Program sama akan disambung keesokannya di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Pasar Muhibbah Setia Alam selain sekitar Sungai Tua.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.


Pengarang :