Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (tengah) Mohd Sabirin Sarbini menyerahkan bantuan tunai dan pek makanan ketika menziarahi mangsa ribut di Puchong pada 10 April 2023. Foto Facebook LZS
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Elak kerenah birokrasi, pusat zakat negeri gigih cari asnaf

SHAH ALAM, 19 APRIL: Cari asnaf di setiap pelusuk negeri. Itu misi Lembaga Zakat Selangor (LZS) saban tahun. Tidak mahu ada yang tercicir waima di bandar atau ceruk kampung. Pasti ada yang perlu dibantu.

Bagi mengesan asnaf, 10 hingga 20 kakitangan ditempatkan di setiap daerah. Mereka dibantu hampir 2,000 amil kariah, lazimnya ahli jawatankuasa masjid, penghulu dan pemimpin setempat.

“Setiap hari mereka mencari dan menyiasat kes berkaitan asnaf. Sebab itu, jumlah asnaf negeri ini tiada pengurangan ketara.

“Puratanya, terdapat 65,000 asnaf di Selangor dan jumlah itu lebih kurang sama sejak tiga tahun lalu.

“Jika kakitangan ada lebihan asnaf baharu, maka KPI (petunjuk prestasi utama) mereka jadi lebih baik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Jika asnaf ditemui, permohonan disegerakan. Dalam 14 hari, LZS menyelidik terlebih dahulu sebelum meluluskan atau menolaknya.

Temu bual khas bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Mohd Sabirin Mohd Sarbini di ibu pejabat Lembaga Zakat Selangor, Shah Alam pada 7 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sekiranya permohonan berkaitan kecemasan seperti banjir atau kebakaran, pemohon mendapat bantuan dalam 24 jam.

Pusat zakat bawah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu sudahpun mengurangkan hampir 50 peratus dokumen permohonan bagi memudahkan urusan.

“Kami antara institusi zakat yang mengurangkan birokrasi. Tidak perlu tebal-tebal dokumennya.

“Pegawai sendiri ke lapangan jika ada asnaf susah hendak memohon,” katanya ketika ditemui Selangorkini pada 5 April.

Lembaga zakat itu juga memudahkan pembayaran zakat dengan memperkenalkan perkhidmatan dalam talian.

“Kita sudah lama melancarkan aplikasi ‘Zakat Selangor’ untuk bayar zakat. Namun, permohonan bantuan bulanan zakat dalam talian berisiko tinggi. Bimbang ada individu cuba memanipulasi dokumen.

“Sebab itu, permohonan bantuan zakat masih tidak boleh dibuat secara dalam talian,” kata Mohd Sabirin.

Agih RM30 juta

Jumlah kutipan zakat di Selangor mencecah RM993 juta pada 2021. Sebanyak 60 peratus daripadanya sumbangan zakat harta terutama potongan gaji bulanan.

Keprihatinan pembayar zakat membolehkan bantuan kewangan asnaf fakir dan miskin tidak putus. Pada Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, RM30 juta diperuntuk bagi golongan berkenaan.

Setiap keluarga asnaf menerima RM300 hingga RM1,000 sekali beri. Ia membolehkan mereka menjalani ibadah puasa lebih sempurna, juga menyambut Aidilfitri lebih meriah.

Orang ramai berurusan di kaunter perkhidmatan Lembaga Zakat Selangor di Shah Alam pada 7 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Sementara itu, Mohd Sabirin menggesa umat Islam segera menunaikan zakat fitrah dan tidak menunggu sehingga akhir Ramadan.

“Memang ada tunggu sehingga pagi Aidilfitri iaitu sebelum solat sunat. Katanya afdal. Tapi kena ambil pengajaran tahun lepas akibat menangguhkan zakat fitrah. Raya tetiba mengejut.

“Pasti ada terlepas kerana tunggu sehingga pagi Syawal. Lebih awal selesaikan zakat, lebih cepat agihan dilakukan,” katanya.

Bagi memupuk kesedaran mengenai rukun Islam keempat itu, LZS melancarkan mata pelajaran berkaitan zakat di Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) seluruh Selangor sejak tahun lalu.

LZS juga menyasarkan subjek berkenaan dimasukkan dalam sukatan institut pengajian tinggi, tahun ini.

“Harapan kita supaya anggota masyarakat daripada umur muda faham dan melaksanakan kewajipan itu,” katanya.

Bimbang kontroversi mengendalikan dana awam, aspek integriti dan pematuhan diutamakan. Syarikat ditubuh sejak 20 tahun lalu itu diaudit lima kali setahun. Ia membabitkan audit dalaman, audit kualiti, audit negeri dan persekutuan serta Mais sendiri. Malah, juruaudit luar turut dilantik memantau akaun LZS.


Pengarang :