Barisan pelakon drama Selalu Ada menjalani penggambaran di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam pada 5 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Erra Fazira bintangi drama terbitan negeri, temui penonton 3 Mei di TV2

SHAH ALAM, 28 APRIL: Barisan pelakon popular tanah air seperti Erra Fazira, Sophia Albarakbah dan Syafie Naswip bakal menemui penonton menerusi drama Selalu Ada pada 3 Mei di saluran TV2.

Drama terbitan Kerajaan Selangor arahan Che Mie yang akan bersiaran jam 9 malam mengetengahkan mesej kekeluargaan dan cabaran tiga sahabat untuk melanjut pengajian ke menara gading.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah turut membuat penampilan khas dalam drama yang dilakonkan sekitar negeri seperti Sekinchan dan Shah Alam.

Drama 45 minit tersebut yang turut dilakonkan bakat baharu Zarul Iman menyelitkan pelbagai bentuk bantuan disediakan pentadbiran negeri kepada masyarakat berpendapatan rendah.

Pada tahun lalu dan sebelumnya, Kerajaan Selangor menerbitkan program Senandung Aidilfitri bagi mengisi sambutan raya berikutan dampak pandemik Covid-19.

Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM600 juta setahun untuk menjayakan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) bagi memastikan kebajikan rakyat terbela menerusi lebih 40 pakej bantuan.

Program itu memanfaatkan kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.

ISP disusun semula dari program kebajikan Merakyatkan Ekonomi Selangor yang bermula dari tujuh tawaran bantuan pada pilihan raya 2008 supaya kehidupan rakyat terbela.


Pengarang :