Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Wisma Kohijrah, Shah Alam pada 18 April 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

EXCO: Pertimbang tambah lokasi jualan murah mega menjelang raya

SHAH ALAM, 19 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri mungkin diadakan di beberapa lagi lokasi bagi memudahkan lebih ramai penduduk mendapatkan keperluan raya.

EXCO pemodenan pertanian berkata perkara itu sedang dibincang bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan meneliti aspek bekalan, tenaga kerja serta lokasi.

“Sejak diadakan pada Sabtu, kita menerima banyak permintaaan dari penduduk yang minta jualan ini diadakan di tempat mereka kerana harga ditawar murah.

“Jadi dapat meringankan beban belanja mereka. Bagaimanapun kita kena lihat kesesuaian sebelum membuat keputusan. Kita cuba anjurkan di satu dua lokasi lagi menjelang raya,” kata Ir Izham Hashim.

Jualan diperkenal tahun lalu oleh Kerajaan Negeri dan memanfaatkan lebih dua juta penduduk sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan murah barangan asas ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.

Sempena Aidilfitri ini jualan mega turut dilaksanakan di 23 lokasi bermula Sabtu hingga esok.

Inisiatif tersebut menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :