Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali. Foto Facebook MBSJ
PBTSELANGOR

Hari tanpa kenderaan di Subang Jaya Mei ini dengan aktiviti menarik

OLEH SHAMZ JOHAN

SHAH ALAM, 19 APRIL: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBPJ) kembali mengadakan program Selamat Pagi Subang Jaya – Hari Tanpa Kenderaan pada Mei depan dengan pelbagai aktiviti tambahan menarik untuk disertai orang ramai.

Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya berkata selepas berehat pada Ramadan, program tersebut diteruskan dengan beberapa acara seperti perlumbaan basikal Criterium, pasar Karloot dan pertandingan karaoke.

“Selain itu kita turut menganjurkan pertandingan bola keranjang Basket King Of The Street dan Street Soccer.

“Acara tambahan dibuat bagi menarik lebih ramai pengunjung turut serta dalam program yang kembali diadakan ini,” kata Mohd Zulkurnain Che Ali pada Mesyuarat Penuh MBSJ kali ke-4 di bangunan MBSJ di sini semalam.

Beliau berkata, aktiviti lain seperti larian, berjalan serta berbasikal santai diadakan seperti biasa.

Lain-lain acara termasuk Pesta Sarapan, Kendera Saji Non Muslim, Pasar Eco Free, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran agensi, aktiviti memanah, Rope Rappelling dan cabutan bertuah.

Program Selamat Pagi Subang Jaya – Hari Tanpa Kenderaan bulan depan akan berlangsung pada 7 Mei bertempat di perkarangan kompleks beli belah Aeon Big Subang Jaya dan Subang Parade.


Pengarang :