Tangkap layar video dari aplikasi TikTok memaparkan seorang warga emas yang mahu dikenali sebagai Pak Cik Zulkifli berusia 68 tahun dan masih mahu bekerja sebagai penghantar makanan walau dalam keadaan bongkok. Kredit TikTok/hazwanhfiz
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hati tersentuh, MB mahu taja penghantar makanan warga emas tunai umrah (VIDEO)

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kisah seorang warga emas berjalan bongkok mencari rezeki sebagai penghantar makanan yang tular di media sosial mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari yang kini menunaikan ibadah umrah di tanah suci menyatakan kesudian untuk menaja pak cik Zulkifli, 68, untuk menunaikan ibadah berkenaan.

“Saya sangat tersentuh apabila melihat seorang pak cik bernama Zulkifli yang lahir dan membesar di Selangor yang dirakamkan berusia 68 tahun dan masih lagi bekerja dan bercita-cita mahu menunaikan umrah.

“Teringat arwah ayah saya yang tidak sempat untuk kali kedua menunaikan umrah dan kali ini saya ingin menaja pak cik Zulkifli pergi ke Mekkah.

“Apabila saya pulang 21 April (dari menunaikan umrah) nanti, insya-Allah saya akan datang menemui untuk penuhi permintaan pak cik yang belum tercapai,” katanya menerusi aplikasi TikTok.

@amirudinshari

Insya-Allah saya akan menaja Pakcik Zulkifli utk menunaikan umrah selepas Raya nanti #fyp #mbselangor #pakcikgrabviral #selangorjagaselangor

♬ Instrumen Sedih – Yuda pratama

Video ucapan Amirudin di tanah suci selama 1.18 minit yang dimuat naik semalam sudah menerima lebih 190,000 tontonan setakat ini.

Pak cik Zulkifli mula mendapat perhatian ramai apabila video yang dimuat naik seorang pengguna TikTok menyentuh perasaan berkenaan keadaan warga emas itu.

Menerusi video selama 55 saat itu, lelaki berkenaan memberitahu usia tidak membataskan dirinya untuk bekerja walaupun dalam bulan Ramadan sebaliknya hanya berhenti rehat untuk berbuka puasa dan solat.


Pengarang :