BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Imaginur, kisah getir melawan lupa

SHAH ALAM, 4 APRIL: Filem datang dengan muatan emosi dan menzahirkan pengalaman tidak terjangka. Ia misteri penting yang mengejutkan pemerhatian kita setiap kali berada dalam panggung yang gelap dengan hanya ditemani lantunan cahaya pada skrin.

Filem yang baik akan memberikan kita ruang untuk membayangkan kembali perasaan yang ditempuh sepanjang hidup.

Tiada kegusaran untuk kita melihat diri sendiri dalam sesebuah filem kerana ia sebenarnya mencuit kita dalam lingkungan perasaan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Imaginur memberikan perasaan seperti itu dan tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa 2023 amat bertuah kerana Nik Amir Mustapha dan Redza Minhat memberikan kelegaan untuk Malaysia mempunyai filem sebaik ini.

Imaginur berjaya menyelinap dalam kepudaran memori dan menelaah ketakutan keterlaluan yang dihadapi manusia apabila berhadapan dengan kepudaran terhadap ingatannya.

Ia sebuah pengalaman yang menggerunkan apabila menyaksikan sendiri bagaimana lupa sedang memakan kita.

Malah ia lebih menakutkan berbanding ketika kita menempuh perasaan kehilangan yang nyata dan fizikal seperti kematian orang tersayang.

Filem ini berjaya memberikan pengertian besar terhadap apa yang berlaku terhadap orang yang sedang melawan kelupaan atau bertarung dengan Alzheimer.

Setiap adegan yang kelihatan kalut, mengejutkan, mengundang kebingungan sebenarnya sedang mewakili kecelaruan dan herotan perasaan manusia saat berdepan dengan kepudaran memorinya.

Kisah dalam Imaginur adalah kisah dalam kepala watak Zuhal yang sedang tua.

Jadi tidak wujud realiti dunia yang kita fahami, namun ia berganjak dalam kenangan-kenangan yang sedang cuba dipertahankan Zuhal mengenai isterinya yang tercinta, Nur.

Merungkai psikologi watak dengan cara seperti Imaginur adalah suatu keadaan yang menyukarkan, namun hasilnya cukup manis sekali.

Imaginur memilih pendekatan yang sangat sederhana namun cukup menyentuh. Emosi yang ditonjolkan dalam filem ini tidak dibuat-buat atau memaksa kita untuk percaya.

Namun, ia berdiri teguh dan mengalir lancar membuatkan kita mengerti mengapa Zuhal sentiasa berada dalam keadaan bercelaru.

Adegan berulang

Malah imej-imej Nur sebagai seorang perempuan misteri juga berjaya dipelihara dengan baik sehingga memunculkan kejutan yang memeranjatkan.

Pada permulaan kita mungkin akan hairan mengapa adegan di stesen kereta api sering berulang-ulang sehingga hujungnya skrin akan gelap.

Ia sebenarnya antara imejan paling berfungsi dalam filem ini dan ia sebenarnya kunci untuk kita mengetahui bahawa Zuhal sedang bergelut untuk mempertahankan kenangan paling utama dirinya dan Nur.

Zuhal sangat risau apabila hampir sahaja tidak dapat mengingati saat berkenaan.

Namun, akhirnya kenangan itu muncul jua dalam ingatannya dan menyebabkan Zuhal berjaya menyusun kembali memori indah dengan isterinya.

Malah ulang-ulangan adegan yang sama dalam filem ini sebenarnya mempunyai perkaitan rapat mengenai minda Alzheimer dan bagaimana ketidakstabilan dalam ingatan itu mengundang persoalan mengenai bagaimana Zuhal mahu meletakkan dirinya sendiri dalam dunia yang amat disayanginya.

Ingatan Zuhal tentang pesan ayahnya adalah antara adegan paling berkesan dalam Imaginur.

Meor Hashim Manap berjaya memberikan kita jentikan perasaan anak yang sedang merindui ayah yang telah pergi untuk tempoh yang lama.

Imaginur mendatangkan harapan untuk kita semua bahawa sinema Malaysia masih mampu menghadirkan kejutan dan tidak menjadi sebuah rutin yang membosankan.

Imaginur tidak pernah cuba-cuba untuk berlagak pandai dan menyentuh hal-hal psikologi dalam lapisan tipis.

Sebaliknya ia menyediakan kita landasan untuk mempercayai bahawa di tangan pembikin yang bersungguh-sungguh dan tahu apa yang dikerjakannya.

Kita akan merasai diri dihargai sebagai penonton dan segala waktu kita menempuh kegelapan di panggung menjadi begitu melegakan.


Pengarang :