Antara siri kitab Ihya Ulumuddin tulisan Imam al-Ghazali terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Foto Grafik Selangorkini
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Imam Ghazali tolak sikap melampau

Oleh Abdullah Hussaini

Abu Hamid al-Ghazali atau lebih dikenali sebagai al-Ghazali merupakan ilmuwan hebat dunia Islam yang turut diiktiraf dunia Barat.

Lahir pada 1058 di Tus, Iran, ilmuwan Islam dan ahli falsafah itu telah mengarang sejumlah besar karya penting.

Sebahagian orang Islam tentu pernah, kalau tidak membaca pun, mengetahui karya agungnya yakni Ihya’ Ulumuddin.

Karya empat jilid ini merangkumi pelbagai sudut ilmu agama yang memudahkan kehidupan umat Islam.

Terjemahan lengkap bahasa Melayu baru dimulakan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dan buku sulung daripada jilid pertamanya dijangka terbit pada pertengahan tahun ini.

Selain karya agung tersebut, al-Ghazali juga mengarang beberapa karya penting yang isinya masih memukau pada masa kini.

IBDE menterjemah beberapa karya penting itu seperti Al-Mustasfa, Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad, Penyelamat daripada Kesesatan, Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik, dan Ilmu Kalam: Tegahan buat Orang Awam.

Kesemua judul yang dinyatakan laris dan tiap satunya dicetak lebih daripada sekali. Ia menunjukkan penulisan al-Ghazali malar segar dan menyentuh jiwa.

Tulisan ini mengulas dua karyanya paling laku iaitu Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad dan Penyelamat daripada Kesesatan.

Judul asal Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad ialah al-Iqtisad fi al-Iktiqad. Diterjemahkan oleh Mohamad Hilmi Marjunit dan terbit pada 2018.

Tajuknya jelas menunjukkan al-Ghazali berpegang kepada prinsip kesederhanaan.

Susunan buku itu merangkumi empat pradurja iaitu:

  • Ilmu ini merupakan antara bicara terpenting dalam agama
  • Ilmu ini bukanlah keperluan utama keseluruhan umat Islam, sebaliknya hanya diperlukan oleh sesuatu kelompok sahaja dalam kalangan mereka
  • Ilmu ini termasuk dalam fardu kifayah dan bukannya fardu ain
  • Perincian kaedah pembuktian yang dikemukakan dalam kitab ini

Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu kalam dan keunikan karya ini membolehkannya kekal sebagai salah satu sukatan pengajian ilmu kalam di pelbagai institusi pengajian tradisional.

Meski dikenali sebagai karya membahaskan ilmu kalam, namun kandungannya mempromosikan kesederhanaan dan menolak sikap melampau.

Hal ini jelas kerana diulas berulang kali berkenaan konsep kesederhanaan. Al-Ghazali menyebut pada beberapa halaman, betapa jangan bermudah-mudahan mengkafirkan orang lain.

Beliau mementingkan pertimbangan akal dan syariat dalam binaan iktikad yang harus berada pada landasan lurus lagi sederhana.

Perbahasan lanjut dan mendalam perihal takfir dapat ditemukan dalam satu lagi karyanya yang kemudian iaitu Ciri Pemisah antara Islam dan Zindik.

Menurut penterjemahnya, Mohamad Hilmi Marjunit, selain perihal kesederhanaan, buku ini menyedarkannya tentang cara berfikir dengan betul untuk mencapai kesederhanaan.

Selain itu, persoalan “apa yang kita fikir boleh jadi kepercayaan” dalam buku ini bagaikan benih awal kepada perkembangan falsafah Barat pada zaman pencerahan yang diaju ahli falsafah Perancis Rene Descartes.

Jalan tasawuf

Penyelamat daripada Kesesatan merupakan terjemahan Munqidh min al-Dhalal, antara kitab al-Ghazali paling kerap dibaca di seluruh dunia.

Meski di Malaysia sudah beberapa kali diterjemah, namun permintaan terhadap karya ini selalu timbul.

Pada 2017, IBDE menerbitkan terjemahan kitab ini oleh Farhan Affandi dan Anwar Yusof. Sehingga hari ini, Penyelamat daripada Kesesatan dicetak sebanyak tiga kali.

Mengapa anda harus membaca buku ini? Apakah relevannya karya yang ditulis lebih seribu tahun lalu kepada manusia moden?

Dengan bahasa yang jelas dan isi meyakinkan, buku ini kerap menjadi bacaan golongan muda dan berusia. Antara inti daripada buku ini ialah mempersoal kepercayaan diri yang dipegang secara turun-temurun.

Dalam halaman pengenalan, beliau menyebut, “Tergerak sanubariku untuk mengenal pasti hakikat fitrah yang asli, dan yang mana pula hakikat kepercayaan-kepercayaan terhasil daripada taklid ibu bapa dan guru-guru; membezakan antara pelbagai taklid yang ada ini, yang pada peringkat permulaannya berpandukan pendapat dan pandangan mereka; dan untuk membezakan antara taklid yang benar dan taklid yang palsu.”

Selain itu, al-Ghazali turut membahaskan perihal keraguan, golongan pencari kebenaran, natijah falsafah, dan bahaya mazhab ta’lim.

Setelah membahaskan tiap perihal ini dengan jelas, beliau yang dibesarkan dalam suasana keagamaan dan keilmuan menceritakan tentang perenungan mendasar terhadap jiwanya.

Dalam bab inilah beliau menerangkan perihal keresahan yang dirasai meski pada ketika itu beliau seorang pensyarah terkenal, memiliki ramai anak murid dan disukai pemerintah.

Kemelut jiwa yang dialaminya menyebabkan beliau meninggalkan segala-galanya dan berpetualang mencari kepastian.

Al-Ghazali akhirnya memilih jalan tasawuf. Natijah daripada pilihan itu adalah beliau telah sepenuhnya percaya dan yakin pada Allah, kenabian dan hari akhirat.

Perjalanannya yang penuh ranjau dan penelitiannya terhadap setiap bidang ilmu serta golongannya mencerminkan sikap berhati-hati, suatu sikap yang harus ada pada semua orang.

Apatah lagi pada zaman kepalsuan dan kekaburan yang merajalela ini, sikap sedemikian adalah keperluan bagi menjamin kewarasan penentuan keputusan.

Menurut sarjana pengkaji Islam bernama W Montgomery Watt, al-Ghazali merupakan cendekiawan terulung Islam yang menghasilkan gagasan bermakna bagi menyelesaikan ketegangan masyarakatnya.

Ia menunjukkan karya beliau tidak terbatas sebagai karya keagamaan sahaja bahkan sebagai perenungan untuk masyarakat.

Kedua-dua karya yang diulas merupakan khazanah dunia Islam yang wajar dibaca oleh segenap lapisan masyarakat.

Penyelamat daripada Kesesatan masih dijual di bukuibde.com sementara cetakan kedua Perihal Kesederhanaan dalam Beriktikad pula akan dijual pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 pada Mei akan datang.


Pengarang :