Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Persekutuan bergerak lancar ketika tinjauan Media Selangor semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 22 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

IPU Petaling Jaya kembali pulih, sederhana di seluruh Selangor

SHAH ALAM, 23 APRIL: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Petaling Jaya kembali pulih pada paras sederhana, setakat pagi ini.

Menurut laman sesawang Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan tersebut mencatatkan IPU 69 pada jam 9 pagi hari ini.

Hampir semua daerah di seluruh Selangor mencatatkan IPU dari 51 hingga 100 iaitu paras sederhana.

Manakala lokasi IPU di semenanjung yang merekodkan tahap baik ialah Pengerang (29) dan Kota Tinggi (38), Johor; Kulim, Kedah (45,); dan Taiping, Perak (41).

Di Sarawak, enam daerah merekodkan IPU pada tahap baik iaitu di Samarahan (49), Serian (36), Sarikei (43), Sibu (39), Kapit (42), dan Limbang (44).

Manakala di Sabah, empat kawasan mencatatkan tahap sama iaitu di Kimanis (32), Keningau (45), Tawau (37), dan Sandakan (29).

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Semalam, hanya Petaling Jaya mencatatkan situasi tidak sihat dengan bacaan IPU 115.

Menteri Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos, susulan musim peralihan monsun.

Menurutnya cuaca panas itu membabitkan semua negeri, namun yang paling terkesan ialah negeri di utara dan pantai timur.


Pengarang :