EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah beramah mesra bersama tetamu yang hadir ketika Majlis Iftar Madani bersama pejabat daerahdan tanah serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 17 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jom Rewang Sekampung Aidilfitri ketengah juadah istimewa dari tiga daerah

SHAH ALAM, 18 APRIL: Progam Jom Rewang Sekampung Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri bakal mengetengahkan juadah tradisi istimewa dari Klang, Gombak dan Sabak Bernam.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata hidangan berkenaan dimasak secara bergotong-royong oleh penduduk kampung sebelum dijamu kepada orang ramai pada malam hari tersebut.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah ketika Majlis Iftar Madani bersama pejabat daerah dan tanah serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam pada 17 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Konsepnya sama seperti rewang sekampung yang diadakan sebelum ini, cuma kali ini kita buat hidangan tradisi mengikut daerah. Sebagai contoh Kampung Idaman, lazimnya popular dengan rendang.

“Jadi semua penduduk akan rewang sekampung pada pagi itu dan masakan dijamu kepada orang ramai pada malamnya,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau ditemui selepas majlis Iftar Madani bersama pejabat tanah dan daerah serta pengerusi MPKK di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, semalam.

EXCO Pembangunan Luar Bandar Borhan Aman Shah beramah mesra bersama tetamu ketika Majlis Iftar Madani bersama pejabat daerah dan tanah serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Pusat Konvensyen Shah Alam, Shah Alam pada 17 April 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Wakil rakyat Tanjung Sepat menambah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj akan mencemar duli ke program Jom Rewang di Klang.

Katanya, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pula dijadual ke program rewang di Gombak, manakala Sabak Bernam dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Penganjuran di tiga lokasi ini seperti disaran Amirudin,” katanya yang sebelum ini memaklumkan acara berkenaan dijadualkan berlangsung di Klang pada 30 April, Sabak Bernam (12 Mei) dan Gombak (14 Mei).

Kerajaan Selangor menganjurkan program rewang sekampung di setiap daerah bagi menghidupkan kembali amalan tradisi dalam kalangan masyarakat sekali gus membentuk perpaduan yang utuh.

Tahun lalu, Sabak Bernam menjadi daerah pertama penganjuran program berkenaan dengan mengadakan majlis kesyukuran bagi meraikan kejayaan 230 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2021.

Acara turut diadakan di beberapa daerah lain antaranya di Hulu Langat yang berkonsepkan majlis perkahwinan mengikut istiadat masyarakat Minang termasuk acara menyembelih kerbau.

Program rewang berkonsep Jawa turut diadakan di Sepang bagi membolehkan penduduk merasai pengalaman mengikut istiadat etnik itu melalui pakaian dan makanan.


Pengarang :