Pembeli menunjukkan barangan keperluan yang dibeli ketika pelancaran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Jalan PJS 2C/5, Flat PKNS, Petaling Jaya pada 9 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan mega Aidilfitri dianjur enam hari mulai esok

SHAH ALAM, 14 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri yang dijadual dua hari mulai esok akan dilanjutkan sehingga 20 April susulan permintaan tinggi orang ramai.

Jualan murah barangan asas itu dianjur Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah).

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata 23 lokasi ditetapkan di seluruh negeri termasuk jualan besar-besaran pada 15 dan 16 April.

Katanya, Jualan Mega Ehsan Aidilfitri dibuat serentak di perkarangan Stadium Sungai Besar, Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat dan tapak bazar Ramadan Batang Kali, Hulu Selangor pada Sabtu.

Menjelaskan lokasi lain akan diumumkan PKPS, beliau berkata program sama diteruskan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pasar Muhibbah Setia Alam dan Sungai Tua pada Ahad.

EXCO Industri Asas Tani Ir Izham Hashim melakukan gimik pelancaran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Jalan PJS 2C/5, Flat PKNS, Petaling Jaya pada 9 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jualan ini memanfaat lebih 50,000 orang. Jualan keseluruhan dianggar RM1.5 juta dengan 30 peratus nilai subsidi Kerajaan Negeri,” katanya ketika melancarkan program itu Ahad lalu.

Ir Izham berkata jualan tersebut juga menawar kuantiti barangan lebih banyak termasuk lebih 36,000 ekor ayam berbanding penganjuran Jelajah Ehsan Rakyat (JER) pada hari biasa.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.


Pengarang :