SHAH ALAM, 5 APRIL: Jualan mega Jelajah Ehsan Rakyat (JER) bakal diadakan hujung minggu depan di enam lokasi dengan lebih banyak barang keperluan disediakan termasuk 30,000 ekor ayam.
Ketua pegawai eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan jualan itu akan berlangsung lebih lama bagi memudahkan penduduk mendapat keperluan menjelang Aidilfitri.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/03/pkps-2-500x333.jpg)
“Selain enam produk utama, jualan kali ini juga menawarkan barangan lain yang belum diputuskan. Kita jual dengan harga lebih rendah dari pasaran,” kata Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Pada 15 April, jualan dijadual berlangsung serentak di pekarangan Stadium Sungai Besar, Pantai Batu Laut dan tapak bazar Ramadan Batang Kali.
Program sama akan disambung keesokannya di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Pasar Muhibbah Setia Alam selain sekitar Sungai Tua.
JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal (RM10/pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6/pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Turut dijual barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling.