Orang ramai membeli ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Muhibbah Setia Alam pada 16 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah Aidilfitri legakan orang ramai, jimat belanja dapur sedia juadah

SHAH ALAM, 16 APRIL: Jualan Mega Ehsan Aidilfitri yang bermula semalam hingga Khamis depan memberi kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) menyediakan keperluan hari raya.

Peniaga Hasnani Mohamad, 39, berkata beliau gembira kerana dapat membeli barangan asas untuk ahli keluarganya pada harga lebih murah dan berpatutan.

Hasnani Mohamad. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Hari ini saya belanja sehingga RM400 untuk beli barangan di sini. Saya turut belikan untuk adik beradik saya kerana mendapat kiriman daripada mereka.

“Ini adalah program jualan murah yang kelima saya hadiri. Saya sangat berpuas hati dengan harga yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di Pasar Muhibbah, Setia Alam di sini hari ini.

Kerani Mohamad Tolha Subhi, 43, yang pertama kali menghadiri program jualan anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu terkejut melihat harga barangan yang ditawarkan lebih murah berbanding pasaran.

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah mengetahui mengenai program tersebut namun menyangkakan ia hanya dibuat khusus untuk golongan B40.

Mohamad Tolha Subhi. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Sebelum ini saya sudah tahu, tetapi saya ingat ia untuk B40 sahaja. Rupa-rupanya ia untuk semua rakyat Selangor.

“Pada saya, rugi kalau rakyat tidak manfaatkan program ini. Ia sangat baik dan menguntungkan. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang anjurkan program seperti ini,” katanya.

Jualan murah Kerajaan Negeri menawarkan ayam pada harga RM10 seekor, telur (RM10 sepapan), beras 5 kilogram (kg) RM10), minyak masak 5 kg (RM25) dan daging (RM10).

Hari ini program sama turut berjalan di Dataran Niaga Siantan, Selayang Mutiara dan di tapak pasar malam Pandan Jaya, dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Jualan murah turut diadakan di Kilang Kopi Banting, Masjid At-Taqwa Taman Kota Cheras, Arena Square Bukit Kapar, pusat operasi Fama Sabak Bernam dan Masjid Al-Falah Taman Tun Teja Rawang bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah hari.

Rumah Selangorku Alam Budiman pula diadakan pada jam 10 pagi dan Dataran Eco Grandeur Kuala Selangor pada jam 4 petang.


Orang ramai menunggu giliran untuk membeli barangan asas pada Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Pasar Muhibbah Setia Alam pada 16 April 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :