Gambar hiasan
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak umur 10 tahun lemas jatuh sungai ketika berkelah

BALING, 27 APRIL: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai berhampiran Loji Air Sungai Limau, Kupang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata mangsa, Muhammad Yusuf Khairuddin dikatakan datang ke situ kira-kira 11 pagi tadi untuk berkelah bersama keluarga.

“Semasa kejadian, ibu mangsa sedang menyuap makanan kepada tiga orang anak kecil yang lain di tepi sungai. Ketika itu, mangsa dilihat berada pada jarak kira-kira 10 meter dari ibunya.

“Ibu mangsa memaklumkan ketika anak-anaknya yang lain sedang mandi, ibunya melihat mangsa juga turun ke sungai untuk mandi namun kelibatnya tidak kelihatan. Ibu mangsa segera naik ke tebing sungai mencari di kawasan sekitar termasuklah di rumah saudara, tetapi mangsa tidak ditemukan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Shamsudin ibu mangsa turut memaklumkan seorang daripada anak perempuannya yang berusia 13 tahun ada ternampak mangsa menuju ke arah saluran paip penyedut ban pasir sebelum hilang.

“Mayat mangsa ditemukan petang tadi di dasar sungai iaitu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk ujian COVID-19 serta bedah siasat,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Difahamkan, Muhammad Yusuf yang menetap bersama keluarganya di Petaling Jaya, Selangor, pulang berhari raya di kampung.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penguasa Bomba Abdul Rahim Che Omar dalam kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada 1.42 tengah hari.

“Operasi mencari dan menyelamat dimulakan di kawasan permukaan dan sekitar sungai. Mangsa berjaya ditemukan pada 4.50 petang, kira-kira tiga kilometer dari lokasi disyaki terjatuh dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :