Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta sempena majlis penyerahan insentif khas Aidilfitri #KitaSelangor kepada penggerak masjid dan guru rakyat Selangor di Dewan Jamuan, Masjid Negeri, Shah Alam pada 13 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Kenang jasa, bantu pentadbir masjid buat persiapan raya

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Dalam tempoh lima tahun sejak 2018, kira-kira RM1.4 bilion disediakan Kerajaan Selangor untuk memajukan syiar Islam di negeri ini.

Jumlah tersebut termasuk RM423.99 juta yang disalur kepada sekolah agama, masjid dan surau serta insentif tambahan antara 2019 hingga 2022.

Sekolah agama paling banyak menerima peruntukan tahunan. Dana RM96.5 juta diperuntuk pada 2019 diikuti RM96.6 juta (2020), RM98.7 juta (2021) dan RM102.3 juta pada 2022.

Pada masa sama, sebanyak RM185 juta lagi disediakan untuk membina dan membaik pulih 78 masjid dan 75 surau, sekali gus menunjukkan kesungguhan negeri memartabat dakwah Islam.

Tidak dilupakan, kebajikan 34,339 penggerak masjid dan surau. Dari nazir, imam, bilal hingga siak, insentif khas Aidilfitri RM13.4 juta dihulur antara 2019 hingga 2023.

Seramai 1,687 guru agama rakyat turut menikmati ganjaran sama pada tahun ini. Mengikut Belanjawan Selangor 2023, peruntukan RM583 juta disalur untuk pembangunan hal ehwal Islam.

Pada 2019 dan 2020, nazir dan dua imam rawatib, bilal dan siak masjid menerima imbuhan raya RM400 seorang. Pengerusi, dua imam dan masing-masing bilal dan siak surau pula RM300.

Ganjaran itu dinikmati 2,730 individu dari 400 masjid dan 10,250 orang dari 2,050 surau menerima manfaat sumbangan khas keseluruhan RM4.17 juta setahun dalam tempoh berkenaan.

Mulai 2021 hingga 2023 pula, insentif raya yang dinaikkan daripada RM400 kepada RM500 seorang disalur kepada nazir dan dua imam, bilal serta siak rawatib. (rujuk jadual)

Imam dan siak rawatib dipilih kalangan ahli kariah masjid dan bukan lantikan Majlis Agama Islam Selangor.

Tinjauan pada 6 April mendapati mereka gembira atas insentif itu sekali gus mendorong untuk berkhidmat lebih baik kepada anggota kariah masing-masing.

Berikut reaksi mereka:

Ahmad Pauzi Mhd Noor, 64, nazir Masjid Al-Hidayah Seksyen 18, Shah Alam

“Dengan pemberian ini, kita lebih bersemangat berkhidmat dan komited dengan tugas. Ia dapat menambah perbelanjaan hari raya. Boleh tambah duit raya cucu kalau ada lebih dan sebahagian lagi infak.”

Mohd Hidayah Dol Hamid, 34, imam Masjid Al-Hidayah Seksyen 18, Shah Alam

“Ia boleh meringankan perbelanjaan maklumlah dekat dengan perayaan Aidilfitri, nak balik kampung, duit minyak, duit raya kepada anak buah, untuk perbelanjaan keluarga pula.”

Hashim Bulat, 62, bilal Masjid Ubudiah Seksyen 19, Shah Alam

“Duit ini untuk persiapan hari raya dan bagi duit raya kepada 13 cucu. Kalau boleh dapat tiap-tiap tahun, lagi bagus. Terima kasih Dato’ Menteri Besar.”

Mohamad Amiruddin Sarmany, 50, nazir Masjid Ubudiah Seksyen 19, Shah Alam

“Saya bekerja, duit bekerja untuk keluarga. Tapi elaun (Aidilfitri) nazir ini, memang semua saya beri kepada ibu bapa.”


Pengarang :