Kendera saji Fire Kitchen Balai Bomba Kuala Kubu Bharu pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kendera saji ‘abang bomba’ jadi tumpuan pengunjung di rumah terbuka Aidilfitri

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Bukan hanya tangkas memadam api dan melakukan kerja menyelamat, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) juga turut mahir di dapur.

Ia dibuktikan menerusi kendera saji Fire Kitchen yang mencuri tumpuan pengunjung di Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Padang Taman Awam Hulu Bernam di sini, malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama pasukan Fire Kitchen dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023.Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Penolong Penguasa Bomba JBPM Kamil Hamadan merangkap Ketua Balai Bomba Kuala Kubu Bharu berkata pihaknya menghidangkan 1,000 roti john secara percuma khusus untuk pengunjung majlis rumah terbuka itu.

“Sudah tentu roti john kita ini istimewa kerana ia dimasak oleh anggota bomba sendiri. Kami masak dari jam 8 hingga 10.30 malam.

Kendera saji Fire Kitchen dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu menarik perhatian orang ramai pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah ia mendapat sambutan menggalakkan. Semua roti john yang dibawa habis dan kami gembira kerana dapat turut serta dalam majlis ini,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Kamil, beliau menerima banyak maklum balas daripada pengunjung yang tidak tahu mengenai kewujudan kendera saji milik JBPM.

Chef Fire Kitchen dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu menyediakan roti john untuk orang ramai pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata, pasukan Fire Kitchen itu baharu ditubuhkan awal tahun lalu, dengan setiap negeri memiliki satu kendera saji khusus untuk memasak dan memberi bantuan makanan ketika bencana.

“Anggota bomba yang terlibat dalam Fire Kitchen juga adalah anggota sama dalam kerja-kerja menyelamat. Kita akan bertukar-tukar mengikut jadual ditetapkan,” katanya.


Pengarang :