BUDAYARENCANA

Kepingan sabar yang kusembunyikan

emak menyelesaikan tenunan kuntuman indah di hamparan dua telapak tangan sebelum embun dijilat mentari, sebelum telapak kakiku mencecah bumi. pesan emak, meski nanti tertoreh merah aku harus maju melangkah kerana di depan ada sungai yang mendinginkan kelukaan.

kutampal sabar pada setiap lompang luka digigit duga dimamah kecewa, hingga bertanya-tanya pada waktu untuk bertemu setitis dingin kerana hampir tidak berbaki sekeping sabar lagi

tetapi pesan emak seperti angin bertiup sebelum tiba hujan membawa peringatan, bahawa Tuhan adalah menurut sangkaan hamba. perlahan-lahan kugugurkan helah dan prasangka lalu kuraba saku mencari kepingan-kepingan sabar yang sengaja kusembunyikan.

Sarah Ross


Pengarang :