Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersalaman dengan orang ramai dalam Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri perkukuh kerjasama erat bersama Apple dalam lawatan ke AS

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Kerajaan Negeri berhasrat untuk bertemu gergasi teknologi, Apple Inc di Amerika Syarikat (AS) dalam siri lawatan bersama delegasi 11 syarikat tempatan ke negara itu pada Mei ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pertemuan itu susulan kerjasama sebelum ini yang dilaksanakan menerusi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

“Saya akan cuba bertemu Apple. Kebetulan kita sudah buka Pusat Kecemerlangan Apple di STDC. Ia merupakan satu-satunya pusat latihan untuk bahasa pengaturcaraan ‘swift’ yang ada di Asia Tenggara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Saya percaya kerjasama yang erat boleh diperkukuhkan lagi serta ke arah melahirkan sumber manusia lebih berkualiti untuk negeri dan negara kita pada masa kini dan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Jelajah Kita Selangor Aidilfitri di Padang Taman Awam Hulu Bernam di sini, malam tadi.

Amirudin sebelum ini dilapor akan mengetuai delegasi 11 syarikat tempatan berkaitan teknologi ke AS dari 1 hingga 4 Mei ini dalam sidang kemuncak pelaburan Select USA Investment 2023.

Orang ramai yang hadir pada Program Rumah Terbuka Jelajah Kita Selangor Aidilfitri Daerah Hulu Selangor di Padang Taman Awam, Hulu Bernam pada 29 April 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Semua 11 syarikat yang terpilih itu merupakan syarikat pemula niaga yang terlibat dalam pelbagai bidang seperti pengangkutan pintar, bioteknologi, teknologi sumber manusia, teknologi kewangan dan pelancongan.

Selain Amirudin, EXCO Perdagangan Datuk Teng Chang Khim juga akan menyertai mesyuarat meja bulat pelaburan yang dianjurkan Jabatan Perdagangan AS dan Pejabat Gabenor California.


Pengarang :