EXCO Infrastruktur Izham Hashim bercakap kepada media selepas Bengkel Kajian Semula Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang dan majlis berbuka puasa di Double Tree Hilton, I-City, Shah Alam pada 17 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerja baiki Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka siap tengah tahun depan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Kerja-kerja membaiki cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata ketika ini kerja membaiki dan membina tembok penahan sedang giat dilakukan dengan kos melebihi RM20 juta.

“Kita siapkan dulu tembok atau dinding penahan dan teknologi diguna pakai adalah sesuai dengan kawasan itu yang sempit dan bertahan lebih baik.

“Kontraktor pun telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja (cerun) itu termasuk jalan. Kita perlukan masa 10 bulan dan dijangka pertengahan tahun depan sudah boleh digunakan jalan itu,” katanya.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bergambar bersama peserta sempena Bengkel Kajian Semula Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang dan majlis berbuka puasa di Double Tree Hilton, I-City, Shah Alam pada 17 April 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan majlis penutup bengkel kajian semula pelan pengurusan lembangan sungai bersepadu (IRBM) Lembangan Sungai Klang (2022-2030) di sini, semalam.

Ir Izham turut menasihatkan pengguna untuk terus menggunakan laluan alternatif yang ditetapkan pihak berkuasa sebelum ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar memaklumkan laluan di Jalan B66 Batang Kali-Genting Highlands hanya akan dibuka untuk kenderaan ringan mulai awal Januari.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan dibuat bagi memudahkan urusan ulang-alik hampir 5,000 pekerja yang tinggal di Batang Kali, Hulu Selangor dan Genting Highlands, Pahang.

Laluan tersebut ditutup sejak 16 Disember tahun lalu ekoran tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat.


Pengarang :