Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 17 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

Lebih 200 ayam habis dalam setengah jam di jualan murah Aidilfitri

KUALA LANGAT, 17 APRIL: Lebih 200 ekor ayam habis terjual dalam tempuh setengah jam pada Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru di sini, hari ini.

Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) berkata walaupun jualan hanya dimulakan pada 4.30 petang pengunjung sudah beratur seawal jam 3 petang untuk mendapatkan barangan pada harga murah.

“Pada jualan mega Aidilfitri ini, ayam, daging segar, telur dan minyak antara yang paling laris kerana ia barangan asas yang akan digunakan untuk menyediakan juadah nanti.

“Di sini kita juga ada bawa barangan lain seperti gula satu kilogram (kg) dijual pada harga RM2, bihun (RM3 sepeket) dan minyak masak bersubsidi (RM2.50 sepeket),” kata Mohammad Syukri Ismail ketika ditemui pada program jualan berkenaan hari ini.

Pengurus Besar Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KoHijrah) Mohammad Syukri Ismail bercakap kepada Media Selangor ketika Jualan Mega Ehsan Aidilfitri 2023 di Taman Banting Baru, Kuala Langat pada 17 April 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat Abd Razak Ramli berkata pihaknya berterima kasih kepada pihak penganjur kerana kawasan itu terpilih untuk penganjuran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri kali ini.

“Kawasan ini padat dan majoritinya daripada kalangan B40 (golongan kurang berkemampuan) jadi sangat sesuai diadakan di sini. Cuma jika diadakan lagi selepas ini diharap kuota barangan dapat ditingkatkan supaya lebih ramai berpeluang mendapatkannya pada harga lebih murah dari pasaran,” katanya.

Sempena Aidilfitri, jualan mega dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor di 23 lokasi bermula 15 April hingga Khamis ini.

Esok ia dijadual berlangsung di Wisma Kohijrah Seksyen 32, Shah Alam, dari jam 4 hingga 6 petang dan kemuncaknya diadakan secara besar-besaran pada 20 April di Petaling Jaya.

Inisiatif tersebut secara keseluruhan menawarkan barangan asas seperti ayam sebanyak 36,700 ekor pada harga RM10 seekor, 12,000 papan telur (RM10 sepapan), 9,900 kampit beras (RM10), 6,100 botol minyak masak (RM25) dan 12,100 pek daging (RM10).


Pengarang :