Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Majlis Zon 15 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Alice Choo ketika menyampaikan Skim Bantuan Sihat Selangor (BSS) berupa katil hospital kepada pesakit barah, Shukor Ismail di kediamannya di Jalan Kampung Tanjung, Sungai Choh, Rawang pada 27 April 2023. Foto ADN Rawang
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 30 permohonan skim bantuan sihat negeri DUN Rawang diluluskan

Oleh Azian Aziz

SHAH ALAM, 28 APRIL: Lebih 30 daripada 60 permohonan Skim Bantuan Sihat Selangor (BSS) yang diterima pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang tahun ini telah diluluskan Kerajaan Negeri.

ADN Rawang Chua Wei Kiat berkata kebanyakan pemohon merupakan penghidap strok dan pesakit yang menjalani dialisis buah pinggang.

Menurut beliau kesemua pemohon menerima bantuan tertakluk kepada keperluan dan kos rawatan serta jumlah yang diperuntukkan skim tersebut.

“Saya menyarankan penduduk Rawang berpendapatan bawah RM3,000 yang menghidap penyakit berisiko termasuk barah agar segera memohon Skim BSS.

“Selain BSS banyak lagi inisiatif lain disediakan untuk rakyat Selangor yang boleh dinikmati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

BSS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memberikan bantuan rawatan kesihatan bagi rakyat Selangor yang kurang berkemampuan.

Antara bantuan yang disalurkan ialah rawatan bagi penyakit dialisis, alatan perubatan, katarak mata, pembedahan kecil, kaki palsu dan lain-lain.

Permohonan skim BSS boleh dibuat melalui pautan http://bantuansihat.selangor.gov.my/

Dalam pada itu Wei Kiat memberitahu seorang pesakit barah, Shukor Ismail, 59, yang menetap di Jalan Kampung Tanjung, Sungai Choh, Rawang menerima bantuan skim BSS semalam.

“Pesakit menerima bantuan berupa katil hospital bernilai RM1,500.

“Sebelum ini pesakit juga menerima baucar Jom Shopping Raya dan barangan keperluan dapur,” ujarnya yang menyampaikan bantuan tersebut bersama Ahli Majlis Zon 15 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Alice Choo di kediaman Shukor.

Alice turut menyampaikan bantuan wang tunai RM500.


Pengarang :